Content

TOM TIDAK HILANG SEMANGAT UNTUK TERUS BERGELAR ARTIS

Tuesday, July 13, 2010
TERPAMPANG wajahnya di dada akhbar kelmarin. Hampir semua media arus perdana melaporkan mengenai wanita bertubuh kecil molek ini. Cerita yang tersiar itu tidaklah seenak berita kemenangannya sebagai juara program realiti My Star TV3 musim ketiga sebelum ini. Sebaliknya yang dipaparkan adalah dirinya yang cedera akibat diserang keluarga isteri bekas teman lelakinya.

Pastinya cerita itu cukup memalukan Rafa Farah Azfar Raja Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Tom. Niat sebenarnya untuk bersemuka sudah disalahertikan oleh pihak terbabit sehingga pertemuan yang sepatutnya berakhir dengan kemanisan rupa-rupanya meninggalkan kesan pahit kepadanya sehingga sukar untuk dipadamkan dari ingatan.Ketika dihubungi Hip, Tom yang ketika itu sedang sibuk merakamkan lagu untuk album sulungnya mengakui disebabkan peristiwa itu, dia menjadi begitu terkejut sehingga mengakibatkan trauma. Namun disebabkan komitmennya terhadap kerja, maka diteruskan juga.

Jelas penyanyi ini, walaupun dia berstatus ibu tunggal itu bukanlah tiket untuknya merosakkan kebahagiaan orang lain.

Sambil mengakui malu, kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, Tom berkata, buat masa ini pintu hatinya sudah tertutup untuk sebarang perbincangan.

Hip: Boleh Tom jelaskan apa sebenarnya yang berlaku petang itu?

Tom: Selepas memberikan penjelasan dalam program TV seperti yang disiarkan Ahad lalu, keluarga isteri lelaki itu hubungi saya kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan itu. Jadi pada hari itu juga (Ahad), saya buat keputusan bertemu mereka bagi memberitahu perkara sebenar. Malangnya baru saja hendak membuka mulut, tidak semena-mena saya diserang oleh abang isteri lelaki terbabit, diikuti ahli keluarganya yang lain. Teruk jugalah kecederaan yang saya alami. Muka, badan, tangan dan kepala cedera gara-gara serangan itu. Selepas kejadian, saya membuat laporan polis sebelum ke hospital untuk membuat pemeriksaan perubatan.

Hip: Tentu ramai yang ingin tahu apakah benar Tom menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki terbabit?

Tom: Memang saya bercinta dengan lelaki terbabit tetapi sudah lama putus. Lagipun lelaki itu jiran saya. Rumah kami saling berdepan. Jadi walaupun sudah tidak ada kaitan, kami masih berkawan. Bukan dengan dia saja tetapi isterinya juga. Disebabkan itulah apabila saya kena pukul, wanita itu memeluk saya. Kalau benarlah saya merampas suaminya, sudah tentu dia tidak berbuat demikian. Saya tahu ada orang cuba menabur fitnah dan memalukan saya. Tapi saya tak mahu menuduh sesiapa.

Hip: Maknanya Tom menjadi mangsa fitnah seseorang?

Tom: Saya tak mahu mengulas lanjut perkara itu. Tapi percayalah, saya tidak seperti yang digambarkan dalam gosip itu. Saya tidak mencucuh api rokok di tubuh wanita itu atau melakukan hubungan seks di depan wanita itu. Itu semua fitnah. Sewaktu gosip itu ditimbulkan, saya tahu ia ditujukan kepada saya berdasarkan pembayang yang diberikan. Tak dinafikan, gosip itu memang memalukan dan apabila berlaku kejadian diserang seperti ini, lagilah saya malu untuk berdepan dengan masyarakat. Orang yang paling bimbang adalah keluarga saya di kampung. Tentunya mereka risau dengan kejadian seperti ini.

Hip: Mungkin fitnah ini berlaku kerana Tom sendiri berstatus janda?

Tom: Saya sedar menggalas status sebagai janda dan penyanyi kelab malam sering membuat diri ini disalah tafsir. Mereka ingat saya liar. Walaupun saya janda dan juga artis tapi itu tidak bermakna saya boleh melakukan apa saja. Saya masih mampu berfikir dengan waras, mana yang benar dan mana yang salah. Mana mungkin saya mahu bertindak kejam seperti yang didakwa.

Hip: Dengan apa yang berlaku adakah Tom menyesal menjadi artis?

Tom: Tak dinafikan, selepas apa yang terjadi memang sedikit menyesal dengan apa yang berlaku. Apatah lagi kejadian kena serang ini, pastinya membuatkan orang memandang serong pada saya. Namun mengenangkan inilah jalan yang saya pilih, maka saya perlu menghadapinya. Contohnya, macam hari ini (Isnin), walaupun semalam diserang, cedera dan tak cukup rehat, namun demi kerja dan komitmen, saya tetap hadir merakamkan lagu untuk album solo saya. Saya harus komited dengannya walaupun berdepan masalah peribadi.

Hip: Jika pihak di sana ingin memohon maaf, apakah Tom akan menerimanya?

Tom: Sebenarnya sejak semalam lagi, saya memang mahu menamatkan segera perselisihan faham ini. Saya tergerak ingin bersemuka dengan mereka kerana mahu membersihkan nama saya yang sudah tercalar. Malangnya, apa yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya saya pula diserang. Jadi selepas ini tak payahlah nak berjumpa dengan saya lagi, saya tak suka dan tak mahu. Terus terang, saya memang marah dengan apa yang berlaku.

HIP


My Ping in TotalPing.com

Labels

Blog Archive