Content

Showing posts with label TOM MYSTARLG. Show all posts
Showing posts with label TOM MYSTARLG. Show all posts

TOM TIDAK HILANG SEMANGAT UNTUK TERUS BERGELAR ARTIS

Tuesday, July 13, 2010
TERPAMPANG wajahnya di dada akhbar kelmarin. Hampir semua media arus perdana melaporkan mengenai wanita bertubuh kecil molek ini. Cerita yang tersiar itu tidaklah seenak berita kemenangannya sebagai juara program realiti My Star TV3 musim ketiga sebelum ini. Sebaliknya yang dipaparkan adalah dirinya yang cedera akibat diserang keluarga isteri bekas teman lelakinya.

Pastinya cerita itu cukup memalukan Rafa Farah Azfar Raja Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan Tom. Niat sebenarnya untuk bersemuka sudah disalahertikan oleh pihak terbabit sehingga pertemuan yang sepatutnya berakhir dengan kemanisan rupa-rupanya meninggalkan kesan pahit kepadanya sehingga sukar untuk dipadamkan dari ingatan.Ketika dihubungi Hip, Tom yang ketika itu sedang sibuk merakamkan lagu untuk album sulungnya mengakui disebabkan peristiwa itu, dia menjadi begitu terkejut sehingga mengakibatkan trauma. Namun disebabkan komitmennya terhadap kerja, maka diteruskan juga.

Jelas penyanyi ini, walaupun dia berstatus ibu tunggal itu bukanlah tiket untuknya merosakkan kebahagiaan orang lain.

Sambil mengakui malu, kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, Tom berkata, buat masa ini pintu hatinya sudah tertutup untuk sebarang perbincangan.

Hip: Boleh Tom jelaskan apa sebenarnya yang berlaku petang itu?

Tom: Selepas memberikan penjelasan dalam program TV seperti yang disiarkan Ahad lalu, keluarga isteri lelaki itu hubungi saya kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan itu. Jadi pada hari itu juga (Ahad), saya buat keputusan bertemu mereka bagi memberitahu perkara sebenar. Malangnya baru saja hendak membuka mulut, tidak semena-mena saya diserang oleh abang isteri lelaki terbabit, diikuti ahli keluarganya yang lain. Teruk jugalah kecederaan yang saya alami. Muka, badan, tangan dan kepala cedera gara-gara serangan itu. Selepas kejadian, saya membuat laporan polis sebelum ke hospital untuk membuat pemeriksaan perubatan.

Hip: Tentu ramai yang ingin tahu apakah benar Tom menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki terbabit?

Tom: Memang saya bercinta dengan lelaki terbabit tetapi sudah lama putus. Lagipun lelaki itu jiran saya. Rumah kami saling berdepan. Jadi walaupun sudah tidak ada kaitan, kami masih berkawan. Bukan dengan dia saja tetapi isterinya juga. Disebabkan itulah apabila saya kena pukul, wanita itu memeluk saya. Kalau benarlah saya merampas suaminya, sudah tentu dia tidak berbuat demikian. Saya tahu ada orang cuba menabur fitnah dan memalukan saya. Tapi saya tak mahu menuduh sesiapa.

Hip: Maknanya Tom menjadi mangsa fitnah seseorang?

Tom: Saya tak mahu mengulas lanjut perkara itu. Tapi percayalah, saya tidak seperti yang digambarkan dalam gosip itu. Saya tidak mencucuh api rokok di tubuh wanita itu atau melakukan hubungan seks di depan wanita itu. Itu semua fitnah. Sewaktu gosip itu ditimbulkan, saya tahu ia ditujukan kepada saya berdasarkan pembayang yang diberikan. Tak dinafikan, gosip itu memang memalukan dan apabila berlaku kejadian diserang seperti ini, lagilah saya malu untuk berdepan dengan masyarakat. Orang yang paling bimbang adalah keluarga saya di kampung. Tentunya mereka risau dengan kejadian seperti ini.

Hip: Mungkin fitnah ini berlaku kerana Tom sendiri berstatus janda?

Tom: Saya sedar menggalas status sebagai janda dan penyanyi kelab malam sering membuat diri ini disalah tafsir. Mereka ingat saya liar. Walaupun saya janda dan juga artis tapi itu tidak bermakna saya boleh melakukan apa saja. Saya masih mampu berfikir dengan waras, mana yang benar dan mana yang salah. Mana mungkin saya mahu bertindak kejam seperti yang didakwa.

Hip: Dengan apa yang berlaku adakah Tom menyesal menjadi artis?

Tom: Tak dinafikan, selepas apa yang terjadi memang sedikit menyesal dengan apa yang berlaku. Apatah lagi kejadian kena serang ini, pastinya membuatkan orang memandang serong pada saya. Namun mengenangkan inilah jalan yang saya pilih, maka saya perlu menghadapinya. Contohnya, macam hari ini (Isnin), walaupun semalam diserang, cedera dan tak cukup rehat, namun demi kerja dan komitmen, saya tetap hadir merakamkan lagu untuk album solo saya. Saya harus komited dengannya walaupun berdepan masalah peribadi.

Hip: Jika pihak di sana ingin memohon maaf, apakah Tom akan menerimanya?

Tom: Sebenarnya sejak semalam lagi, saya memang mahu menamatkan segera perselisihan faham ini. Saya tergerak ingin bersemuka dengan mereka kerana mahu membersihkan nama saya yang sudah tercalar. Malangnya, apa yang diharapkan tidak berlaku. Sebaliknya saya pula diserang. Jadi selepas ini tak payahlah nak berjumpa dengan saya lagi, saya tak suka dan tak mahu. Terus terang, saya memang marah dengan apa yang berlaku.

HIP

Read more »

SAAT CEMAS DICEKIK DAN DITENDANG KETIKA PERGADUHAN TOM

Wartawan Utusan Malaysia, Raja Intan Dianna Raja Azham,25, mengalami bengkak pada rusuk kirinya dan lebam-lebam di seluruh badan akibat dipukul ketika mahu meleraikan pergaduhan melibatkan juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lepas, Raja Intan cuba membantu Tom yang diserang sekumpulan lelaki sehingga membuatkan dia turut mengalami kecederaan.Kata Raja Intan, walaupun Tom adalah saudaranya dia bukan mahu masuk campur urusan penyanyi itu sebaliknya atas sifat kasihan melihat sekumpulan lelaki cuba membelasah penyanyi tersebut.

"Saya bersimpati terhadap Tom apabila melihat seorang daripada lima lelaki meluru kearahnya lalu menyepak bahagian pipi kanan dia.

"Kerana kasihan saya cuma membantu tetapi saya pula yang turut dicederakan," ujarnya ketika dihubungi Mstar Online di sini, Isnin.Dalam kejadian di Damansara Ahad lepas, Tom cedera dibelasah oleh sekumpulan lelaki dipercayai akibat selisih faham selepas dia membuat kenyataan dalam rancangan Melodi yang dia sebenarnya tidak mengganggu rumah tangga orang.
Raja Intan

Sebelum ini Tom dikatakan menyebabkan rumah tangga seorang wanita dengan suaminya bergoyang kerana dia mempunyai hubungan dengan suami wanita berkenaan yang juga kekasih lamanya.

Kata Raja Intan, pada mulanya dia berada pada deretan kedai tidak jauh dari tempat kejadian.

Bagaimanapun selepas melihat isteri kepada lelaki yang dikaitkan dengan Tom itu cuba menyelamatkan penyanyi itu daripada dipukul, dia turut membantu.

Malangnya pada waktu itu dia pula yang ditendang pada bahagian rusuk selain dicekik oleh seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan. "Beberapa perempuan yang berada disitu turut menjerit serta memaki hamun saya agar tidak masuk campur kerana saya orang luar

"Mereka juga ada memberi ugutan kepada saya agar beredar dari situ," jelasnya yang kini masih trauma dengan kejadian tersebut.

Bagaimanapun kata Raja Intan dia terselamat apabila tiba-tiba rakan Tom muncul dengan sebuah kereta menyebabkan mereka membuat keputusan untuk menyelamatkan diri.

"Kejadian yang berlaku itu lebih kurang 5 minit tetapi baju saya habis koyak rabak, seorang kawan Tom datang dengan kereta dan menyuruh kami bertiga memasuki kereta tersebut.

"Kami terus menuju ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan," ujarnya yang mendapat cuti sakit akibat tragedi itu.

- Mstar
Read more »

TOM MYSTARLG DIBELASAH - CERITANYA....

Monday, July 12, 2010
Sidang media yang diadakan bertujuan untuk memberitahu kisah sebenar disebalik tuduhan yang mengatakan Tom telah memukul isteri orang dalam keadaan yang sarat mengandung akhirnya berubah menjadi satu pergaduhan besar apabila semua pihak yang terlibat tidak dapat mengawal emosi dan kemarahan.

Penulis yang berada di tempat kejadian tergamam dan hanya mampu melaporkan apa yang berlaku sepanjang peristiwa itu tercetus. Berikut adalah kronologi di sebalik isu pergaduhan tersebut:-




Berita dipetik dari Murai

Sebelum Sidang Media Tergempar

• Lebih kurang jam 1 petang semalam (11 Julai 2010), editor murai.com.my menerima panggilan telefon dari sepupu mangsa yang dikenali sebagai Aileen untuk mengadakan sidang media mengejut selepas Tom memberikan keterangan yang dianggap palsu dalam program Melodi TV3 berkaitan kes dia yang dituduh sebagai orang yang terlibat dalam kes pukul wanita yang sedang sarat mengandung.

• Selain wakil dari murai.com.my, sepupu mangsa hanya dapat menghubungi beberapa wakil wartawan untuk hadir ke sidang media ini. Antara wakil media yang dapat dihubunginya adalah wakil dari Astro Awani, Harian Metro, Melodi TV3 dan Galaksi TV9.

• Bagaimanapun, hanya wakil dari murai.com.my, Astro Awani dan Harian Metro saja yang dapat menghadirkan diri dalam sidang media tersebut. Difahamkan, wakil dari Melodi iaitu wartawan Nas Ahmad tidak dapat hadir kerana terlibat dengan satu kursus.

• Sepupu mangsa turut dimaklumkan wartawan Nas Ahmad bahawa krew dari Galaksi TV9 akan turut sama dalam sidang media itu. Namun, sehingga tamat sidang media ini, tiada wakil dari Galaksi yang hadir.

Semasa Sidang Media Tergempar

• Sidang media yang dirancang bermula antara jam 2 hingga 3 petang dimulakan agak lewat sedikit disebabkan pihak keluarga mangsa mahu menunggu semua wakil media tiba.

• Sebelum sesi temuramah dimulakan, semua wakil media telah dijamu dengan sedikit jamuan oleh sebab secara kebetulan keluarga ini sedang meraikan sambutan hari jadi anak saudara mangsa.

• Sedang wakil media menjamu selera, mangsa telah menelefon abang sulungnya bernama Azil Adzlee Ali agar memberhentikan sidang media itu serta-merta. Rayuan tersebut diminta mangsa yang ketika itu kedengaran sedang menangis selain difahamkan baru saja dipukul suaminya lagi.

• Sesi luah perasaan yang bertujuan untuk menyelamatkan mangsa dari terus dipukul suaminya dan Tom dimulakan oleh bapa mangsa iaitu Ali Ibrahim. Ia diikuti dengan penjelasan dari ibu mangsa iaitu Noor Liza Shamsudin, Azil Annas Ali (abang mangsa) dan Nur Umirah Ali (adik mangsa).

• Dalam sidang media itu, bapa mangsa memberitahu pihak media dengan membenarkan pihak media mengambil gambar dan video pengakuannya. Namun, dia meminta agar setiap foto dan video itu dikaburkan wajahnya. Permintaan ini dipohon demi menjaga keselamatan dirinya kerana dia terlibat dengan program khas yang melibatkan generasi muda.

• Selain ayah, ibu dan 3 adik-beradik mangsa, ibu saudara mangsa iaitu Fazreen Adnan dan abang sulung mangsa, Azil Adzlee Ali turut memberikan penjelasan serta perasaan tidak puas hati terhadap Tom.

• Sebaik saja tamat sesi temuramah itu, Azil memberitahu keluarga dan wartawan bahawa Tom dan suami mangsa mahu membawa mangsa ke rumah itu untuk menyelesaikan masalah ini secara damai.

• Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, orang tengah Tom dan suami mangsa iaitu Hulk membuat panggilan telefon dan berunding mahu berjumpa di balai polis Damansara.

• Selepas berunding, pihak keluarga mangsa bersetuju untuk bertemu mereka di sana dengan membawa sekali wartawan ke sesi pertemuan tersebut.

Sebelum Pergaduhan Terjadi

• Setibanya wartawan dan keluarga di balai polis Damansara kira-kira jam 5.30 petang, mangsa yang sudah melalui kawasan balai polis itu tidak mahu berhenti di tempat yang dijanjikan.

• Difahamkan, pihak suami mangsa berubah fikiran di saat akhir dengan membuat panggilan telefon kepada abang sulung mangsa dengan meminta agar bapa dan abangnya itu datang ke sebuah restoran berdekatan balai polis untuk berjumpa mangsa dan anaknya.

• Permintaan tersebut dituruti bapa dan abang mangsa. Pada awalnya, hanya bapa dan abang mangsa saja yang dibenarkan berjumpa dengan mangsa. Tetapi tidak lama kemudian, ibu serta sanak-saudara mangsa yang lain turut diberikan peluang yang sama. Mungkin kerana menyedari wartawan turut berada di sana.

• Sebelum bertolak ke restoran tersebut, wartawan Utusan Karya baru saja tiba di balai polis berkenaan dan terus saja mengikuti kereta keluarga mangsa ke restoran tempat mereka mahu dipertemukan dengan mangsa.

• Setibanya di sana, setiap ahli keluarga dapat memeluk mangsa dan mendukung anak mangsa yang bernama Nur Kasih. Inilah kali pertama semua kaum keluarga dapat berjumpa dengan anak mangsa itu.

• Sementara kaum keluarga lain berjumpa mangsa, anak dan suami mangsa, Tom diajak berunding dengan abang sulung mangsa disertai bapa mangsa. Secara tiba-tiba, adegan pukul memukul berlaku yang melibatkan Tom, abang mangsa, suami mangsa, mangsa dan kaum keluarga mangsa. Adegan pukul memukul itu tercetus kerana mereka tidak berpuas hati dengan jawapan Tom serta hubungan Tom dengan suami mangsa. Persoalannya, mengapa Tom harus ada di situ sedangkan perjumpaan tersebut difahamkan adalah untuk menyelamatkan mangsa daripada terus dipukul suaminya dan Tom.

• Semasa Tom jatuh rebah ke jalan raya selepas dipukul, mangsa yang bersama keluarganya terus berlari menuju ke arah Tom dan memeluk Tom untuk melindungi Tom dari dipukul terus. Difahamkan mangsa berbuat demikian kerana bimbang dia akan menjadi mangsa pukul suaminya dengan Tom lagi.

• Wartawan Utusan Karya yang ada di situ turut terlibat sama di dalam pergaduhan ini tersebut apabila dia dengan beraninya cuba meleraikan pergaduhan tersebut. Difahamkan wartawan itu mempunyai pertalian darah dan cuba berada di pihak Tom. Selain wartawan itu, seorang lagi abang mangsa (abang sulung) berserta ibu serta sepupu mangsa yang turut sama berusaha meleraikan pergaduhan itu turut terlibat sama dalam situasi yang mencemaskan serta menggerunkan itu.

• Pergaduhan tersebut berlaku lebih kurang 10 minit dan selepas ia berjaya dileraikan, suasana kembali menjafi tenang dan tenteram. Tom serta suami mangsa bersama konco-konconya terus pergi ke balai polis Damansara untuk membuat laporan polis terhadap dirinya yang diserang keluarga mangsa.

• Beberapa minit selepas itu, 2 anggota polis tiba di tempat kejadian dengan membawa mangsa dan abang mangsa ke balai polis Damansara.

• Semua wartawan dan ahli keluarga mangsa juga di arah ke balai polis Damansara untuk memberi keterangan.

• Salah seorang keluarga mangsa yang mengendong anak mangsa bingung kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan terhadap bayi mangsa itu. Mungkin dia masih terkejut dengan pergaduhan yang berlaku sebentar tadi itu.

Di Balai Polis Damansara

• Lebih kurang jam 6.30 petang, semua yang terlibat dengan pergaduhan tersebut berada di balai polis Damansara. Tom dan suami mangsa lebih awal sampai ke balai polis.

• Setibanya keluarga dan pihak media di sana, pihak polis membenarkan media berada di dalam balai tetapi dengan syarat wartawan tidak boleh menemuramah mangsa di dalam balai.

• Laporan polis itu dimulai dengan pihak Tom dan suami mangsa yang memberi keterangan. Sebelum membuat laporan, suami mangsa cuba cuba membawa masuk mangsa ke dalam balai polis bersamanya. Namun, keluarga mangsa menghalang permintaan itu kerana dikhuatiri suami mangsa akan membuat sesuatu di luar jangkaan.

• Sebaik saja selesai membuat laporan polis, Tom dilihat keluar dari balai polis tersebut kira-kira jam 8 malam. Dia terus meluru masuk ke keretanya tanpa mahu memberikan sebarang komen apabila beberapa wartawan mengajukan persoalan tentang isunya memukul si mangsa. Ketika itu, dia ditemani wartawan Utusan yang turut terlibat dengan pergaduhan tersebut.

• Rakan media yang ada tidak berputus asa. Mereka terus mengajukan beberapa soalan sewaktu Tom berada di dalam kereta.

• Akhirnya selepas berunding, Tom bersetuju untuk ditemuramah wartawan dan mengajak semua rakan wartawan ke kawasan lain yang mana di situ suami mangsa dan rakannya yang lain sedang menunggunya.

• Pun begitu, Tom secara tiba-tiba berubah fikiran dan tidak mahu memberikan sebarang penjelasan selepas beberapa rakannya yang kelihatan seperti kuncu samseng di situ menasihatinya supaya tidak berbuat demikian.
Read more »

KES TOM MYSTARLG - SATU LAPORAN POLIS TELAH DIBUAT!

Sunday, July 11, 2010
Ingat lagi tak dengan artikel artis juara realiti TV pukul isteri orang yang pernah kami keluarkan baru-baru ini? Rasanya semua orang sudah sedia maklum yang artis dimaksudkan ialah Tom Mystarz LG atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal. Kalau anda tengok Melodi petang tadi, pastinya anda percaya yang nama Tom sudah dibersihkan kerana suami isteri tersebut telah mengaku sebenarnya perkara ini tak terjadi.

Tapi tunggu dulu. Ada kejutan di sebalik rakaman Melodi tengah hari tadi. Sebenarnya pengakuan tersebut bukanlah pengakuan ikhlas pasangan suami isteri yang terlibat. Ini kerana mereka berdua telah diugut oleh pihak tertentu untuk tidak mengeluarkan cerita sebenarnya. Semua yang ada lihat di Melodi adalah palsu semata-mata. Itu hanyalah drama.

Mengikut sumber yang memang sangat boleh dipercayai, kini pasangan suami isteri tersebut telah mengambil langkah berani dan sedang berada di Balai Polis Damansara untuk membuat laporan polis mengenai kes ini. Maknanya gosip yang menyatakan Tom Mystars LG memukul isteri orang sebenarnya memang berlaku. Kalau tak terjadi buat apa nak report polis kan?

Dengar ceritanya beberapa media turut hadir di Balai Polis Damansara untuk membuat liputan lanjut. Kita nantikan perkembangan kes Tom Mystarz LG ini. Nampaknya ada suatu konspirasi oleh pihak tertentu untuk menjaga nama Tom Mystarz LG.

Beautiful Nara

Read more »

My Ping in TotalPing.com

Labels

Blog Archive