
Wanita berusia, 38 tahun ini mendapat tepukan gemuruh apabila keluar ke pentas dan membawakan lagu-lagu hit dari 13 buah albumnya dengan diiringi 13 pemuzik profesional yang didatangkan khas dari Lubnan.

Nawal akur dengan peraturan pemakaian di Malaysia. Foto CHAN TAK KONG
Penyanyi yang sudah bertapak selama 20 tahun dalam industri hiburan ini pernah menerima pelbagai pengiktirafan dan dia mula dikenali selepas menyertai pertandingan nyanyian, Studio El Fann pada tahun 1988.

Konsert daripada artis tersohor Arab ini mula mengegarkan Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) tepat pukul 9.00 malam dan berakhir kira-kira pukul 11 malam.
Konsert 90 minit ini dibuka dengan persembahan artis popular tanah air iaitu Faizal tahir yang membawakan lagu hitnya, Bencinta dan Selamat Malam.
Menurut Nawal, Konsert ini merupakan peluang besar kepadanya bertemu dengan peminat-peminat di Asia dan berharap akan kembali semula untuk konsert akan datang.

"Saya mendengar tentang Malaysia dari rakan-rakan saya, mereka memberitahu bahawa Malaysia sebuah negara yang cantik dan mempunyai masyarakat yang baik.
"Biarpun saya faham ramai yang kurang memahami bahasa Arab tetapi mereka masih boleh menikmati hiburannya kerana irama world musik sudah tidak asing lagi di sini," jelasnya.
Nawal turut berbesar hati kerana konsert yang diadakan ini bukan sekadar hiburan malah turut memberi sumbangan kepada rumah kebajikan Nursalam.
"Saya suka kepada kerja amal, namun ia lebih elok tidak didedahkan. Tapi saya difahamkan konsert ini juga memberi sedikit sumbangan kepada rumah kebajikan, ia adalah sesuatu yang sangat mulia," jelasnya yang turut memberi sumbangan peribadi ketika tiba di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Faizal Tahir yang ditemui pada sidang media yang sama menzahirkan rasa terujanya beraksi bersama-sama artis popular dari Timur Tengah itu.
"Saya berbangga kerana dipilih untuk mengadakan persembahan pada malam bersejarah tersebut, dia seorang artis yang sangat berbakat dan dikenali di seluruh Timur Tengah," katanya.
- mSTAR