Content

Showing posts with label DRAMA. Show all posts
Showing posts with label DRAMA. Show all posts

"PONTI ANAK REMAJA" TIDAK TIRU "TWILIGHT"

Tuesday, October 19, 2010
PETALING JAYA: Drama bersiri Ponti Anak Remaja yang bakal disiarkan pada 25 Oktober ini tidak meniru filem popular Hollywood berjudul Twilight.

Menurut pengarahnya Nizam Zakaria, 36, drama itu yang merupakan kesinambungan telefilem Ponti Anak Remaja yang pernah disiarkan pada tahun 2008 itu tidak meniru mana-mana adegan atau unsur dalam filem bersiri Hollywood tersebut, malah skrip asal yang ditulisnya juga adalah berdasarkan kajian dan kisah cerita dongeng Melayu.

"Cerita ini tiada kaitan dengan filem Twilight sebab telefilem Ponti Anak Remaja lebih dahulu keluar berbanding filem Hollywood berkenaan. Malah jalan cerita juga berbeza, kita lebih menerapkan unsur Kemelayuan.

"Saya sudah lama buat kajian tentang makhluk-makhluk seperti puntianak melalui bacaan dan cerita-cerita Melayu dulu. Saya telah menulis novel sejak berusia 20 tahun antaranya Susuk dan Awang Vimpiro yang mana cerita ini telah diterbitkan pada tahun 2005," katanya pada sidang media pelancaran drama mini bersiri Ponti Anak Remaja di Damansara, dekat sini, Isnin.Drama sebanyak empat episod yang memakan masa 1 jam itu bakal disiarkan menerusi saluran 104, Astro Ria. Ia membariskan pelakon-pelakon seperti Liyana Jasmay, Nazim Othman, Tam Shuhaimi dan Azlee Khairi.

Jelas Nizam, sambutan menggalakkan dan permintaan peminat terhadap telefilem Ponti Anak Remaja sebelum ini membuatkan drama mini bersiri berkenaan di terbitkan.

"Kita lihat telefilem tersebut sudah beberapa kali diulang tayang dan ramai yang bagi respons positif. Jadi saya cuba ia dijadikan sebagai drama bersiri.

"Walaupun hanya empat siri sahaja, saya sudah cukup puas hati dengan hasilnya. Saya rasa bagaikan sebuah filem terutama dari segi kualiti," katanya.
Antara yang terlibat dalam drama Ponti Anak Remaja

Dalam pada itu, tambah Nizam, cabaran paling utama ialah dari segi ketelitian dalam pembikinannya kerana drama ini menggunakan teknik penghasilan imej janaan komputer (CGI).

"Drama ini banyak menggunakan teknik CGI, sudah tentu cabaran utama ialah dari segi ketelitian. Memang saya akui ia menggunakan kos yang tinggi sedikit berbanding drama biasa," jelasnya yang juga pengarah drama Dottie.

Drama ini masih lagi mengisahkan hidup Ponti iaitu puntianak yang berubah menjadi manusia dan terpaksa berdepan dengan onak dan ranjau kehidupan sebagai seorang pelajar kolej di Kuala Lumpur.

Konflik tercetus apabila kekasih lama pada alam puntianaknya dahulu datang kembali merebut kasih Ponti yang kini telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Hazuan.
Read more »

ALMY NADIA BUAT RAZAK MOHAIDEEN BENGANG!

Thursday, August 26, 2010
EKORAN kegagalan pelakon Almy Nadia untuk menghadiri majlis pra tonton filem 4 Madu yang diadakan Rabu lalu, pengarah filem tersebut Prof. Madya A. Razak Mohaideen tekad untuk tidak bekerjasama dengan pelakon itu lagi pada masa akan datang.

Keputusan itu diluahkan oleh A. Razak kerana kekecewaannya dengan sikap tidak profesional Almy kerana enggan menyertai rangka promosi filem komedi itu yang sudah diaturkan sejak awal lagi.

Menurut A. Razak yang ditemui pada pra tonton majlis tersebut, pihaknya telah memaklumkan kepada Almy dan semua pelakon mengenai tarikh dan butiran majlis itu sejak dua bulan lalu bagi memudahkan para pelakon dan karyawan yang terbabit melapangkan diri pada hari berkenaan.

Namun, apabila dihubungi oleh pihak produksi yang mahu mengesahkan kehadiran Almy, pelakon itu sebaliknya memberitahu dia sudah terikat dengan jadual penggambaran di Melaka pada tarikh berkenaan.

"Tindakan Almy yang gagal hadir pada majlis pra tonton filem ini benar-benar mengecewakan saya. Bagi saya dia langsung tidak profesional bekerja dalam industri ini. Tak mungkin saya akan bekerjasama dengannya lagi di masa akan datang.

"Alasan yang diberikan bahawa dia sudah terikat dengan jadual penggambaran adalah tidak berasas dan tidak boleh diterima sebab pihak kami sudah maklumkan kepadanya mengenai tarikh majlis ini sejak dua bulan lalu," katanya.

Almy Nadia dianggap tidak profesional kerana gagal hadir di majlis itu tanpa alasan kukuh.

Ditanya adakah tindakan terhadap Almy itu disebabkan perselisihan faham yang pernah tercetus mereka sebelum ini, A. Razak berkata, faktor itu adalah tidak berasas langsung sebaliknya menyifatkan tindakan Almy sebenarnya sebagai tidak profesional.

"Kalau saya sebagai orang yang memperkenalkannya ke dunia lakonan pun boleh melupakan dan mengenepikan apa jua isu salah faham yang tercetus sebelum ini, mengapa tidak dia bertindak sewajarnya?

"Jika tindakannya yang enggan hadir pada majlis ini disebabkan terlalu beremosi dengan apa yang pernah tercetus, memang dia tidak profesional.

"Majlis ini diadakan bukan untuk saya dan filem ini semata-mata, malah untuk publisiti kepadanya sebagai pelakon filem ini juga," katanya.

Tambah A. Razak, jika pelakon-pelakon lain yang lebih popular dan berpengalaman seperti Saiful Apek, Rosnah Mat Aris, Fasha Sandha, Rozita Che Wan boleh meluangkan waktu untuk hadir tetapi kenapa Almy tidak boleh berbuat demikian.

"Pelakon-pelakon yang lain pun sibuk juga dengan jadual kerja masing-masing tapi atas dasar profesional mereka boleh tunjuk muka di majlis ini?" katanya.

Razak (tengah) bersama barisan pelakon filem 4 Madu yang bakal ditayangkan pada Hari Raya pertama ini.

Filem 4 Madu adalah filem komedi terbaru terbitan Lineclear Motion Picture Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studio dan Berjaya Film Production.

Ia mengisahkan dua adik-beradik tiri Azlan dan Azrul (kedua-duanya dilakonkan oleh Saiful Apek) yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan dipertemukan pada hari pembacaan wasiat tinggalan ayah mereka yang bernilai RM80 juta setiap seorang.

Demi memenuhi tuntutan wasiat itu, Azlan dan Azrul dikehendaki mengahwini empat wanita mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bermulalah gelagat dan kelucuan masing-masing dalam meyempurnakan tugasan itu.

Filem 4 Madu ini bakal menemui penonton di pawagam pada awal bulan hadapan sempena sambutan Hari Raya.

Read more »

My Ping in TotalPing.com

Labels

Blog Archive