Pergolakan yang berlaku dalam Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) nampaknya akan berpanjangan kerana sehingga kini tidak ada sebarang penyelesaian yang dapat dicapai. Ini kerana sehingga hari ini, pihak kementerian masih belum campur tangan dalam kemelut yang melanda.
Melihat situasi sekarang ini, seakan-akan berlaku perang tiga penjuru di antara Ahmad Idham, David Teo dan PFM. David Teo adalah yang paling lantang memberi kenyataan kerana tidak bersetuju dengan tindakan PFM yang tidak menyokong perlantikannya dan Idham dalam Lembaga Pengarah Finas.Terbaru, David telah menempelak kepimpinan PFM dengan mengatakan mereka bertindak kurang ajar kerana membelakangkan ahli dalam membuat sebarang keputusan. Malah, David juga melahirkan rasa kecewanya terhadap Ahmad Puad Onah dan ahli jawatankuasa (AJK) PFM yang lain kerana cuba ‘main kotor’ untuk menyingkirkannya.
Sehubungan itu, David ingin mengadakan mesyuarat agung tergempar kerana dia mahu melakukan undi tidak percaya bagi menyingkirkan Ahmad Puad. Mengulas tentang kenyataan yang dibuat oleh David itu, Ahmad Puad yang ditemui semalam berkata dia tidak ada masalah jika David mahu mengadakan mesyuarat agung tergempar itu.
“Kalau dia mendapat sokongan 1/3 daripada ahli-ahli berdaftar PFM, dia memang boleh mengadakan mesyuarat itu. Saya tidak ada masalah. Sidang media yang kami adakan tempoh hari bukan untuk menjatuhkan dia atau Ahmad Idham tetapi ia bertujuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato` Seri Utama Dr. Rais Yatim selepas memorandum yang dihantar pada April lalu tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Jadi, sekarang ini saya tidak faham mengapa David menuduh kepimpinan PFM kurang ajar atau tidak menghormati keputusan menteri. Kami menerima keputusan menteri itu tetapi dalam masa yang sama kami mahukan penjelasan kerana sepanjang tempoh perkhidmatan David dan Idham, banyak masalah yang dilaporkan berlaku dalam industri.
“Ini bukan zaman batu. Semua pihak berhak menyuarakan pendapat mereka. Tidak timbul isu kurang ajar atau tidak menghormati menteri apabila PFM mengambil pendekatan ini. Jika di Parlimen pun, menteri perlu menjawab pelbagai soalan daripada pihak yang inginkan penjelasan. Saya pun tidak faham mengapa David melihat isu ini sebagai serangan peribadi. Ingin saya jelaskan sekali lagi, PFM bukan bertindak atas dasar peribadi tetapi ia untuk kepentingan dan masa depan industri filem tempatan.
“Kami masih memerlukan kedua-dua individu ini kerana mereka memang memainkan peranan penting dalam PFM. Orang-orang beginilah yang mampu menaikkan taraf industri perfileman kita,” jelas Ahmad Puad panjang lebar.
Menjawab tuduhan David yang mengatakan barisan kepimpinan PFM mempunyai maksud tersirat dalam usaha menentang perlantikan itu, Ahmad Puad menjelaskan, tidak ada sebarang agenda tersembunyi yang diperjuangkan oleh kepimpinan PFM.
“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, kami telah pun berjumpa dan berbincang dengan David dan Idham sebelum mengambil keputusan menghantar memorandum kepada menteri. Dalam perbincangan itu mereka menolak pendapat kami yang mengatakan akan berlaku konflik kepentingan.
“Mereka bertegas mahu berada dalam lembaga pengarah. Setelah cara itu tidak berkesan, barulah kami ambil langkah seterusnya kerana ramai ahli yang tidak menyokong. Saya bukan bertindak atas kepentingan peribadi. Saya ini hanya makan gaji bukan ada syarikat sendiri seperti mereka.
“Kalau mereka kata sepanjang tempoh berada dalam Finas kita tidak pernah timbulkan sebarang isu, itu tidak benar. Setiap kali menyuarat PFM diadakan, kita akan maklumkan pada mereka semua isu berbangkit walaupun mereka tidak hadir. Namun, semua masalah tidak berjaya diselesaikan dengan baik. Atas sebab itulah sekarang ini kita mahu pihak kementerian mengkaji semula keputusan perlantikan itu,” tambah Ahmad Puad lagi.
Dalam masa yang sama Ahmad Puad turut mempersoalkan keinginan David untuk mengadakan undi tidak percaya bagi menyingkirkan dirinya.
“Timbul persoalan pada saya, adakah David ingin melakukan undi tidak percaya ini kerana dia ingin menggantikan tempat saya atau dia ingin meletak ‘agennya’ dalam kepimpinan PFM? Kalau ini niatnya, anda nilaikan sendiri siapa sebenarnya mempunyai maksud tersirat?”