
Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi yang ditemui selepas majlis pelancaran filem Aku Bukan Tomboy semalam kelihatan sangat gembira ketika memberitahu murai.com.my mengenai perkara itu.
"Jadi selepas berbincang, kami pun sebulat suara untuk mengadakan majlis merisik dan meminang sekaligus pada 13 September ini iaitu raya ke-4 di rumah keluarga saya, Kota Tinggi Johor", jelasnya yang sentiasa tersenyum ketika di temubual.
Menurut Memey lagi, dia yang masih belum membuat apa-apa persiapan untuk majlis tunangnya itu bagaimanapun belum pasti berapa lama tali pertunangannya itu diikat sebelum melangkah ke alam perkahwinan bersama Norman.
"Semua mengenai tarikh perkahwinan dan wang hantaran akan dibincang oleh kedua-dua belah pihak keluarga ketika majlis pertunangan kami kelak. Namun apa yang boleh saya katakan, kami tidak akan bertunang begitu lama dan mungkin hanya dalam masa dua hingga tiga bulan sahaja selepas bertunang kami akan berkahwin.
"Kalau hendak diikutkan, saya lebih suka buat satu majlis yang wajib sahaja. Cukuplah majlis perkahwinan dan tidak perlu majlis yang kecil-kecil seperti merisik dan bertunang. Tapi, berbeza pula dengan abang Norman, dia mahu saya merasai semua itu sebelum kami diijab kabulkan.
Walaupun segala hantaran untuk majlis tunangnya belum ada apa-apa persiapan lagi, namun Memey telah pun menempah baju untuk hari bahagianya itu nanti.
"InsyaAllah segala hantaran pertunangan akan saya siapkan dua hari sebelum raya kerana selepas itu saya tidak terlibat dengan apa-apa lakonan. Ketika ini hanya cincin tunang berbentuk belah rotan sahaja sudah dibeli.
"Saya telah memilih tema pakaian berwarna putih dan Izwan Ismail adalah orang yang bertanggungjawab untuk mereka baju pertunangan saya nanti,"katanya yang akan memakai baju raya rona merah sedondon dengan Norman lebaran ini.
Memey tidak dapat membuat persediaan awal untuk majlis pertunangannnya itu kerana sedang sibuk menjalankan pengambaran telemovie Osman Berani untuk saluran Astro Ria sepanjang Ramadan ini.
- Murai